Nilai Indeks Persepsi Rasuah Malaysia yang turun dari
tangga 56 ke tangga 60 dengan kekurangan skor sebanyak 0.1 mata memang sudah
dijangka sejak awal-awal lagi. Ini bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana
berdasarkan prestasi dan pelaporan isu rasuah sepanjang tahun 2011 masih
menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap rasuah bukan pada yang
sepatutnya.
Pengaruh Politik Semasa
Tidak sukar untuk menyatakan bahawa di negara yang mana
terdapatnya perubahan politik semasa, yakni sokongan kepada pembangkang semakin
meningkat akan mempengaruhi penurunan CPI.
Ambil saja contoh negara jiran, Singapura walaupun berada
pada tangga kelima tahun ini dengan skor sebanyak 9.2, tetapi ia juga mengalami
penurunan sebanyak 0.1 mata dan merupakan antara skor terendah negara berkenaan
sepanjang tujuh tahun kebelakangan ini.
Perkara yang sama juga berlaku kepada negara jiran
Thailand, yang mana dengan perubahan politik sekitar awal tahun ini turut
menjadikan isu rasuah debagai salah satu isu dalam pilihanraya negara
berkenaan. Skor Thailand turun daripada 3.5 kepada 3.4 tahun ini.
Peranan Ahli Politik
Melihat kepada perkara ini, tidak hairanlah bahawa ahli
politik memainkan peranan penting dalam memperkatakan isu rasuah.
Ahli politik sepatutnya bersama-sama agensi anti rasuah
dalam memerangi rasuah dan penyelewengan, tetapi ahli politik negara ini
dilihat lebih gemar mengambil kesempatan dalam menggunakan isu rasuah untuk
menjatuhkan pihak lawan.
Tanpa disedari, mereka juga sebenarnya telah turut
mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap isu rasuah di negara ini.
Ironinya, memang sukar untuk mencari ahli politik yang
benar-benar komited memperkatakan isu rasuah di negara ini bukan? Selain
menunding jari kepada lawan dan membuat tohmahan, mereka juga sering dilihat
mengambil kesempatan memperbesarkan isu berkaitan agensi anti-rasuah tempatan.
Ambil contoh isu Teoh Beng Hock, yang ditemui mati ketika
membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lihat berapa
ramai ahli politik pembangkang yang tampil memohon simpati masyarakat dengan
tujuan memperlihatkan kegagalan parti pemerintah.
Isu berkenaan diperbesarkan dan ditokok tambah sedangkan
ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berlangsung awal tahun ini, tidak
kelihatan pula kerabat keluarga TBH mahupun ahli politik yang memperjuangkan
kematiannya.
Soal penyelewengan yang disyaki mungkin terdapat dalam
pemberian tender oleh kerajaan pembangkang bagi projek-projek kecil kerajaan
negeri dan sistem amalan ‘ali baba’ yang dikeluarkan dalam perbicaraan
Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut tidak pula dijadikan isu dan salah satu
faktor yang patut diambil kira. Tidakkah ganjil disitu?
Akibat terlalu banyak menggunakan isu rasuah dalam urusan
politik, maka masyarakat yang dilihat hati ini adalah masyarakat yang mempunyai
persepsi pelbagai terhadap isu rasuah, mengikut fahaman politik yang dipegang
mereka.
SPRM pula dijadikan tempat pembuangan tohmahan setiap
kesalahan yang cuba diperlihatkan oleh parti-parti politik ini, sedangkan
agensi ini juga terikat dengan peruntukan undang-undang dibawah bidang kuasa
tertentu sahaja.
Kegagalan Kerajaan Mendidik Masyarakat
Tidak
dinafikan, telah banyak usaha yang dibuat oleh kerajaan sekarang dalam usaha
mengurangkan kadar rasuah di negara ini. Tetapi sejauh mana ia berkesan,
sekiranya semua pihak hanya mengambil kesempatan dan tidak membantu menyokong
inisiatif tersebut.
Penubuhan
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah dan SPRM
dilihat sebagai satu usaha yang patut diangkat oleh semua pihak dalam usaha
membanteras rasuah. Namun ia dilihat tidak kemana kerana usaha ini tidak dapat
dirasai dan dilihat oleh masyarakat.
Beban
memberi pendidikan pencegahan rasuah dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan
rasuah seolah-olah hanya perlu ditanggung oleh dua entiti ini sahaja.
Sebagai cntoh, dalam perolehan kerajaan, telah banyak
inisiatif dan cadangan yang dikemukakan dua entiti ini bagi menjamin ketelusan
dan pengurangan ruang penyelewengan. Tetapi adakah ianya diikuti oleh semua
agensi kerajaan? Atau hanya mendengar dan mengangguk semata?
Memang usaha menandatangani ikrar integriti untuk
meningkatkan ketelusan dan sistem dan prosedur giat dilakukan, malah seperti
paparan semasa, badan-badan korporat, kelompok perniagaan dan agensi
penguatkuasaan juga dilihat mahu bekerjasama dalam perkara ini. Tetapi sejauh
manakan tahap keseriusan mereka? Sekadar tandatangan sahaja dengan tiada
inisiatif susulan atau berharap tindakan susulan daripada pihak SPRM sahaja?
Masyarakat sendiri tidak dapa melihat dan merasai
usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini kerana mereka lebih mengutamakan
diri dan kepentingan diri sendiri. Dalam erti kata lain, masyarakat kita gagal
dididik untuk membenci rasuah. Buktinya setelah setahun Kempen Perangi Pemberi
Rasuah (salah satu inisiatif SPRM) dilaksanakan, masih terdapat sejumlah 316
aduan (sehingga 15 November tahun ini) yang diberikan berkaitan pemberian
rasuah.
Kebolehterimaan CPI
CPI
dikeluarkan sejak tahun 1995 oleh Transparency International (TI) sebuah badan
bukan kerajaaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman. Indeks ini hanya
mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara yang mana
kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan
bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit.
Seperti
tahun ini, CPI Malaysia dikira berdasarkan 12 kajian antarabangsa yang telah
dijalankan oleh NGO lain. Oleh itu, CPI
Malaysia hanya dikira berdasarkan 12 kajian ini sahaja, bukan kajian yang
dibuat sendiri oleh TI. Jadi ianya boleh dikatakan mengambil kira pandangan
orang luar terhadap situasi semasa dan isu rasuah dalam negara ini.
Sumber-sumber kajian tersebut juga tidak dinyatakan
secara terperinci dan sampel yang digunakan mahupun metadologi kajian juga
tidak pernah dinyatakan. Jadi adakah ini benar-benar persepsi rasuah di negara
ini atau hanya pendapat asing?
Malaysia Negara yang Korup?
Penurunan CPI setiap tahun sejak tahun 2009 menunjukkan
Malaysia seolah-oleh negara yang mana tahap rasuahnya semakin parah. Sedangkan
realitinya tidak sebegitu.
Mungkin kerana isu ‘ikan jerung, ikan bilis’, yang sering
diperkatakan menyababkan masyarakat antarabangsa melihat negara ini kurang
komited memerangi jenayah rasuah berskala besar kerana tiada tangkapan
melibatkan kes-kes berprofil tinggi.
Walaupun banyak usaha yang telah dilakukan oleh SPRM
sejak berdiri sebagai sebuah Suruhanjaya pada 2009, tetapi ia dilihat seolah
tidak terkesan dihati masyarakat. Berbuih0buih juga mantan Ketua Suruhanjaya
SPRM yang dahulu dan yang sekarang menyeru masyarakat memerangi rasuah. Tetapi
nampaknya suara mereka tenggelam dek kerana suara ahli politik yang lebih
kebal.
Untung juga SPRM dapat membawa beberapa kes berprofil
tinggi seperti kes bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, Alcatel dan
beberapa kes lain ke mahkamah. Tetapi berapakah peratus kemungkinan untuk
mereka ini disabitkan kesalahan, jika bukti dan saksi sendiri kurang
bekerjasama?
Selebihnya, SPRM terpaksa membuat inisiatif sendiri
dengan melancarkan beberapa operasi-operasi berskala besar seperti Ops Pasir,
Ops Balak, Ops 3B dan kes membabitkan pendatang asing tanpa izin di Pulau
Ketam. Tetapi bila operasi ini hanya menangkap mereka yang berada di peringkat
bawah sahaja, SPRM dikatakan hanya menangkap ikan bilis sahaja. Sedangkan
masyarakat sendiri sedia maklum, rasuah itu seharusnya diperangi diperingkat
akar umbi.
Sebenarnya, CPI bukanlah kayu pengukur tahap rasuah di
negara ini. Jika dilihat paparan kes-kes rasuah yang dipertuduhkan dan jumlah
sabitan yang dijatuhkan mahkamah ke atas pesalah rasuah, tahap rasuah di
Malaysia sebenarnya telah berkurang. Cuma tiada kajian dari pihak dalaman
sendiri untuk mengukur tahap persepsi masyarakat dan hanya bergantung kepada
laporan antarabangsa semata-mata.
Kewujudan Mahkamah Seksyen Khas Rasuah juga adalah bukti
bahawa usaha pembanterasan rasuah di negara ini semakin baik tetapi sokongan
itu yang masih kurang.
p/s: Artikel ini ehsan dari SPRM
Ditaip semula oleh:
Azlan Sakdi
Wartawan blog SPRUMT