nantikan Mac ini bersama Sekretariat Pencegahan Rasuah UMT. Harap maaf jika blog ini masih terdapat banyak kekurangan. Blog ini masih dalam proses pembanggunan.harap maklum.

Saturday 28 April 2012

MENGAPA CPI KITA SEMAKIN MERUDUM?



Nilai Indeks Persepsi Rasuah Malaysia yang turun dari tangga 56 ke tangga 60 dengan kekurangan skor sebanyak 0.1 mata memang sudah dijangka sejak awal-awal lagi. Ini bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana berdasarkan prestasi dan pelaporan isu rasuah sepanjang tahun 2011 masih menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap rasuah bukan pada yang sepatutnya.

Pengaruh Politik Semasa
Tidak sukar untuk menyatakan bahawa di negara yang mana terdapatnya perubahan politik semasa, yakni sokongan kepada pembangkang semakin meningkat akan mempengaruhi penurunan CPI.
Ambil saja contoh negara jiran, Singapura walaupun berada pada tangga kelima tahun ini dengan skor sebanyak 9.2, tetapi ia juga mengalami penurunan sebanyak 0.1 mata dan merupakan antara skor terendah negara berkenaan sepanjang tujuh tahun kebelakangan ini.
Perkara yang sama juga berlaku kepada negara jiran Thailand, yang mana dengan perubahan politik sekitar awal tahun ini turut menjadikan isu rasuah debagai salah satu isu dalam pilihanraya negara berkenaan. Skor Thailand turun daripada 3.5 kepada 3.4 tahun ini.

Peranan Ahli Politik
Melihat kepada perkara ini, tidak hairanlah bahawa ahli politik memainkan peranan penting dalam memperkatakan isu rasuah.
Ahli politik sepatutnya bersama-sama agensi anti rasuah dalam memerangi rasuah dan penyelewengan, tetapi ahli politik negara ini dilihat lebih gemar mengambil kesempatan dalam menggunakan isu rasuah untuk menjatuhkan pihak lawan.
Tanpa disedari, mereka juga sebenarnya telah turut mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap isu rasuah di negara ini.
Ironinya, memang sukar untuk mencari ahli politik yang benar-benar komited memperkatakan isu rasuah di negara ini bukan? Selain menunding jari kepada lawan dan membuat tohmahan, mereka juga sering dilihat mengambil kesempatan memperbesarkan isu berkaitan agensi anti-rasuah tempatan.
Ambil contoh isu Teoh Beng Hock, yang ditemui mati ketika membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lihat berapa ramai ahli politik pembangkang yang tampil memohon simpati masyarakat dengan tujuan memperlihatkan kegagalan parti pemerintah.
Isu berkenaan diperbesarkan dan ditokok tambah sedangkan ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berlangsung awal tahun ini, tidak kelihatan pula kerabat keluarga TBH mahupun ahli politik yang memperjuangkan kematiannya.
Soal penyelewengan yang disyaki mungkin terdapat dalam pemberian tender oleh kerajaan pembangkang bagi projek-projek kecil kerajaan negeri dan sistem amalan ‘ali baba’ yang dikeluarkan dalam perbicaraan Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut tidak pula dijadikan isu dan salah satu faktor yang patut diambil kira. Tidakkah ganjil disitu?
Akibat terlalu banyak menggunakan isu rasuah dalam urusan politik, maka masyarakat yang dilihat hati ini adalah masyarakat yang mempunyai persepsi pelbagai terhadap isu rasuah, mengikut fahaman politik yang dipegang mereka.
SPRM pula dijadikan tempat pembuangan tohmahan setiap kesalahan yang cuba diperlihatkan oleh parti-parti politik ini, sedangkan agensi ini juga terikat dengan peruntukan undang-undang dibawah bidang kuasa tertentu sahaja.

Kegagalan Kerajaan Mendidik Masyarakat
            Tidak dinafikan, telah banyak usaha yang dibuat oleh kerajaan sekarang dalam usaha mengurangkan kadar rasuah di negara ini. Tetapi sejauh mana ia berkesan, sekiranya semua pihak hanya mengambil kesempatan dan tidak membantu menyokong inisiatif tersebut.
            Penubuhan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah dan SPRM dilihat sebagai satu usaha yang patut diangkat oleh semua pihak dalam usaha membanteras rasuah. Namun ia dilihat tidak kemana kerana usaha ini tidak dapat dirasai dan dilihat oleh masyarakat.
            Beban memberi pendidikan pencegahan rasuah dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rasuah seolah-olah hanya perlu ditanggung oleh dua entiti ini sahaja.
Sebagai cntoh, dalam perolehan kerajaan, telah banyak inisiatif dan cadangan yang dikemukakan dua entiti ini bagi menjamin ketelusan dan pengurangan ruang penyelewengan. Tetapi adakah ianya diikuti oleh semua agensi kerajaan? Atau hanya mendengar dan mengangguk semata?
Memang usaha menandatangani ikrar integriti untuk meningkatkan ketelusan dan sistem dan prosedur giat dilakukan, malah seperti paparan semasa, badan-badan korporat, kelompok perniagaan dan agensi penguatkuasaan juga dilihat mahu bekerjasama dalam perkara ini. Tetapi sejauh manakan tahap keseriusan mereka? Sekadar tandatangan sahaja dengan tiada inisiatif susulan atau berharap tindakan susulan daripada pihak SPRM sahaja?
Masyarakat sendiri tidak dapa melihat dan merasai usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini kerana mereka lebih mengutamakan diri dan kepentingan diri sendiri. Dalam erti kata lain, masyarakat kita gagal dididik untuk membenci rasuah. Buktinya setelah setahun Kempen Perangi Pemberi Rasuah (salah satu inisiatif SPRM) dilaksanakan, masih terdapat sejumlah 316 aduan (sehingga 15 November tahun ini) yang diberikan berkaitan pemberian rasuah.

Kebolehterimaan CPI
            CPI dikeluarkan sejak tahun 1995 oleh Transparency International (TI) sebuah badan bukan kerajaaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman. Indeks ini hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara yang mana kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit.
            Seperti tahun ini, CPI Malaysia dikira berdasarkan 12 kajian antarabangsa yang telah dijalankan oleh NGO lain.  Oleh itu, CPI Malaysia hanya dikira berdasarkan 12 kajian ini sahaja, bukan kajian yang dibuat sendiri oleh TI. Jadi ianya boleh dikatakan mengambil kira pandangan orang luar terhadap situasi semasa dan isu rasuah dalam negara ini.
Sumber-sumber kajian tersebut juga tidak dinyatakan secara terperinci dan sampel yang digunakan mahupun metadologi kajian juga tidak pernah dinyatakan. Jadi adakah ini benar-benar persepsi rasuah di negara ini atau hanya pendapat asing?

Malaysia Negara yang Korup?
Penurunan CPI setiap tahun sejak tahun 2009 menunjukkan Malaysia seolah-oleh negara yang mana tahap rasuahnya semakin parah. Sedangkan realitinya tidak sebegitu.
Mungkin kerana isu ‘ikan jerung, ikan bilis’, yang sering diperkatakan menyababkan masyarakat antarabangsa melihat negara ini kurang komited memerangi jenayah rasuah berskala besar kerana tiada tangkapan melibatkan kes-kes berprofil tinggi.
Walaupun banyak usaha yang telah dilakukan oleh SPRM sejak berdiri sebagai sebuah Suruhanjaya pada 2009, tetapi ia dilihat seolah tidak terkesan dihati masyarakat. Berbuih0buih juga mantan Ketua Suruhanjaya SPRM yang dahulu dan yang sekarang menyeru masyarakat memerangi rasuah. Tetapi nampaknya suara mereka tenggelam dek kerana suara ahli politik yang lebih kebal.
Untung juga SPRM dapat membawa beberapa kes berprofil tinggi seperti kes bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, Alcatel dan beberapa kes lain ke mahkamah. Tetapi berapakah peratus kemungkinan untuk mereka ini disabitkan kesalahan, jika bukti dan saksi sendiri kurang bekerjasama?
Selebihnya, SPRM terpaksa membuat inisiatif sendiri dengan melancarkan beberapa operasi-operasi berskala besar seperti Ops Pasir, Ops Balak, Ops 3B dan kes membabitkan pendatang asing tanpa izin di Pulau Ketam. Tetapi bila operasi ini hanya menangkap mereka yang berada di peringkat bawah sahaja, SPRM dikatakan hanya menangkap ikan bilis sahaja. Sedangkan masyarakat sendiri sedia maklum, rasuah itu seharusnya diperangi diperingkat akar umbi.
Sebenarnya, CPI bukanlah kayu pengukur tahap rasuah di negara ini. Jika dilihat paparan kes-kes rasuah yang dipertuduhkan dan jumlah sabitan yang dijatuhkan mahkamah ke atas pesalah rasuah, tahap rasuah di Malaysia sebenarnya telah berkurang. Cuma tiada kajian dari pihak dalaman sendiri untuk mengukur tahap persepsi masyarakat dan hanya bergantung kepada laporan antarabangsa semata-mata.
Kewujudan Mahkamah Seksyen Khas Rasuah juga adalah bukti bahawa usaha pembanterasan rasuah di negara ini semakin baik tetapi sokongan itu yang masih kurang.

p/s: Artikel ini ehsan dari SPRM

Ditaip semula oleh:
Azlan Sakdi
Wartawan blog SPRUMT



No comments:

Post a Comment